Wednesday, June 2, 2010

Murabbi Cinta



Salam istirehat…

Hari ini tidak seperti kelmarin, aku bangun dengan bersenang lenang dan penuh kemalasan. Menghadap televisyen dan buku ‘Murabbi Cinta’ yang belum habis aku baca. Hairan juga. Kalau dikolej, dalam keadaan sibuk dan terlalu banyak komitmen itu, aku bisa menghabiskan buku hanya dalam beberapa hari. Tapi kali ini, aku mengambil masa yang lama untuk menamatkannya walaupun masa yang ada lebih daripada mencukupi.Itulah aku. Aku yang bergerak lebih pantas dan laju dalam keadaan sibuk. Aku yang lebih bijak membahagikan waktu bila masa mengejarku. Aku rindukan saat aku bergelar pelajar, bila mana aku tidak menang tangan dengan tugasan akademik dan tanggungjawab sebagai jmk. Jarang sekali aku punya masa untuk bermalas-malas.


Selesai minum pagi, aku cuba menaip, membantu mami menyiapkan minit mesyuaratnya. Melihat sahaja pada tulisan, kepala aku mula pening. Belum lagi perkataan yang dicatat dalam bentuk point. Aku cuba membayangkan mesyuarat tersebut dan apa yang sedang berlaku. Mungkin pengerusi cuba memberitahu yang mereka harus berhati-hati dalam menguruskan kewangan....atau…argh…mana boleh aku suka-suka buat ayat aku sendiri! Peranan aku sebagai setiausaha suatu ketika dulu menolak tugasan sebegini. Hanya setiausaha sahaja yang tahu apa yang berlaku dan bagaimana untuk menulis minit mesyuarat ini. Aku tidak mungkin. Kerana aku bukan setiausahanya dan aku tidak disitu.


Aku tinggalkan minit mesyuarat itu. Kucapai buku Murabbi Cinta kembali. Buku ketiga hasil karya Ustaz Hasrizal yang kubaca ini banyak menggalakkan aku berfikir. Tepat dengan kemahuan ustaz. Aku memang mengagumi cara penulisan ustaz. Simple dan mudah untuk difahami. Tidak perlu kata-kata pujangga yang melampau kerana sedikit mainan ayat sahaja sudah mecantikkan bicara ustaz. Buku ini sangat sesuai untuk mereka yang sudahpun mendirikan rumah tangga. Aku? Ya, aku belum berkahwin namun aku mengambil nasihat ustaz untuk memenuhkan ilmu didada sebelum mendirikan perkahwinan. Perkahwinan itu bukan suatu penyelesaian, kata ustaz. Tapi, ia suatu gagasan yang harus dikemudi sehingga ke syurga. Aku melihat ustaz seperti aku. Banyak perkara yang ustaz luahkan terpendam dalam hati dan fikiranku. Walaupun penulis itu bukan aku, namun aku sudah berpuas hati kerana apa yang aku fikir sudahpun sampai kepada masyarakat. Buku ini harus aku miliki bukan hanya untuk hari ini tetapi juga untuk hari esok. Banyak pengajaran dan tips-tips hebat untuk menjadi suami, isteri, bapa dan ibu yang berjaya ada di dalam buku ini. Tak banyak antara ibu bapa hari ini mahu melihat kesalahan sendiri sebelum menunding jari pada anak-anak tetapi ustaz Hasrizal berani memulakannya. Mudah-mudahan buku seperti ini menjadi pedoman aku suatu hari nanti bilamana aku melayarkan bahtera rumah tangga dan berjihad sebagai seorang isteri dan ibu. Alangkah cantiknya jika buku ini dijadikan hantaran. Pasti lebih bermakna buat kita dan pasangan. Pada yang belum kenali ustaz, mulakanlah dengan buku ‘Aku Terima Nikahnya’. Pasti sukar untuk dilepaskan jika anda seorang yang suka berfikir seperti saya!


“Musibah berantai” dan “Didikan Allah untuk Manusia Hebat” adalah antara tajuk yang aku gemari. Musibah berantai adalah kemarahan manusia yang tidak akan putus dan mampu berpindah randah kepada individu yang lain. Suami yang dimarahi ditempat kerja mungkin akan balik dengan keadaan tidak tenteram dan memarahi isteri di rumah yang bergurau tidak kena pada waktunya. Si isteri yang baru sahaja sudah dimarahi mungkin memarahi anak kecil yang sedang dalam proses pembelajaran dan penuh dengan sifat ingin tahu. Anak kecil yang sedih dan geram pula mungkin melepaskan kemarahannya kepada kucing kesayangan dengan menendangnya tanpa sebab. Musibah berantai ini sering berlaku dan sukar sekali untuk dibendung. Untuk diputuskan rantai itu, ianya bermula daripada kita. Mudahan aku antara manusia yang menjadi pemutus rantai itu.


‘Didikan Allah untuk Manusia Hebat’ adalah kisah anak yang tidak bahagia dengan ibu dan bapanya. Dia membanding-bandingkan ibu bapa rakan-rakannya dengan ibu bapanya. Dia melihat kelemahan ibu bapanya dan hairan kenapa Allah memperlihatkan semua itu kepadanya. Ustaz membimbingnya. Kata Ustaz, mungkin itulah caranya Allah mendidiknya menjadi manusia yang hebat suatu hari nanti. Manusia yang tidak akan mengulangi kelemahan kedua-dua ibubapanya dan mencuba untuk mencari kehidupan yang lebih baik. Yang lebih aku sukakan ialah hujah ustaz mengenai perbandingan yang dilakukan oleh seorang anak. Seorang anak yang biasa dibandingkan akan mula membeza-bezakan ibubapanya dengan ibu bapa orang lain. Jadi sebagai ibu bapa kita haruslah menjuhkan diri daripada sifat suka membuat perbandingan sekiranya kita juga tidak ingin dibandingkan!


Banyak lagi tajuk menarik yang boleh dikupas, tapi pastinya akan lebih menarik jika dibaca sendiri. Umpama hidangan yang kira rasa dan yang ditonton didalam rancangan memasak. Pastinya hidangan yang kita nikmati terasa lebih enak daripada hidangan yang hanya sekadar menjadi tontonan. Mudahan ustaz Hasrizal akan terus menulis dan semoga Allah melembutkan hatiku pada setiap patah kata yang aku baca.Amin.

2 June 2010
Losong