Friday, September 21, 2012

Cinta Rasulullah s.a.w

Assalamualaikum....

Selamat pagi di penghulu segala hari..Hari Jumaat yang mulia.


Alhamdulillah, syukur kepada Allah diberi peluang untuk bernafas lagi pada pagi ini. Sampai bila saya sendiri tidak mengetahui. Mungkin petang ini saya sudah tiada di dunia ini. Ya Allah, jauhkan aku daripada su'ul khatimah yakni mati dalam keadaan tanpa iman kepada-Mu. 


Bangun dengan satu niat. Saya mahu mencari ilmu yang bermanfaat dan memberikan manfaat pada orang lain. Hidup saya tidak lama. Saya tidak mahu panjang angan-angan. Mudahan hari ini bermula dengan baik dan berakhir dengan baik. Saya mohon agar Allah lindungi kita semua pada hari ini daripada bisikan syaitan dan hawa nafsu.



Sepanjang minggu saya mendengar desas desus, reaksi dan pandangan mengenai innoncence of Muslim arahan sam bacile. Namun, saya tidak punya kesempatan untuk memberikan banyak ruang masa pada berita yang dibicarakan. Hati terasa sungguh bersalah. Ya Allah, ampunkan hamba-Mu. Ya Rasulullah maafkan umatmu. 



Mendengar, mengikuti dan memahami tanpa memberi sebarang pandangan tidak bererti saya tidak sensitif. Tatkala mendengar pandangan orang ramai di radio IKIM, hati saya tersentuh. Alhamdulillah, dicelahan manusia yang tidak mengenali Nabi Muhammad s.a.w, masih ada umat yang cintakan baginda. 



Ada yang setuju dengan demonstrasi. Ada yang lebih suka mengambil inisiatif bertenang dan bersabar. Ada yang berpendapat untuk contohi Rasulullah. Saya sendiri kurang pasti mana yang lebih baik. Dengan ilmu yang sangat sedikit ini, saya tidak mampu memberikan pendapat apa yang lebih baik. Namun, saya terfikir, jika Rasulullah s.a.w masih ada, apa agaknya yang baginda akan lakukan? Dan saya hanya mahu mencontohi baginda s.a.w.
Bersederhanalah dalam apa jua tindakan dan mohonlah petunjuk Allah agar itu adalah yang terbaik buat kita semua. Yang pasti, maruah Rasulullah s.a.w tidak pernah berkurang dengan apa jua tohmahan dan cacian kerana maruah tidak terletak pada mata manusia. Ianya ada pada kedudukan baginda sebagai kekasih Allah dan tiada siapa mampu menggugat kedudukan itu apa lagi merampasnya.


Apa jua reaksi kita hari ini, saya mohon janganlah kita lupa bahawa cinta Rasulullah s.a.w kepada umatnya sepanjang masa sehingga akhir hayat baginda. Maka, cintailah baginda sehingga akhir hayat kita. Saya bimbang jika cinta ini berakhir apabila isu ini mula sejuk ditelan masa.Tatkala itu, kita kembali lupa siapa Rasulullah s.a.w dan perjuangan baginda.


Perjuangan baginda bukan untuk dibaca semata, namun untuk dihayati dari kulit sehingga isinya
Kehidupan baginda bukan hanya untuk diceritakan, namun untuk dicontohi daripada sebesar-besar sehingga sekecil-kecil perkara.


Saya sendiri belum cukup mengenali baginda. Saya sendiri masih belajar untuk menghayati perjuangan baginda. Saya sendiri masih kurang berselawat ke atas baginda.


Ya Allah, ampunkan hamba-Mu. Ya Rasulullah, maafkan umat-Mu.


Ya Allah, jadikan aku umat Muhammad yang sentiasa rindukan baginda, mengamalkan sunnah baginda dan berselawat ke atas baginda s.a.w.


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiROmJo22N0y3s5ti4sdZ_NgK3kghIyvXB9nWumLKPeR4JLaA8vl_PBGBV9_45moQRC0nWK4ALWcGqxUhsd47XY56iuIQXHJoBVMSqdRnV8y90vguytaltjCZTVgmz0wanjvZO7GwCEMDnQ/s400/Selawat+syifa.jpg  

Jasad baginda sudah tiada bersama, namun perjuangan baginda segar tidak pernah padam. Baginda sudah tiada didunia namun baginda tinggalkan Al-Quran dan sunnah untuk umatnya yang paling dicintai. Mampukah kita membalas cinta baginda?


Hamba mohon keampunan-MU.