Sunday, September 9, 2012

Selected book - Bersyukur Saat Diuji



Assalamualaikum...




Pagi ini cukup indah sekali. Kami satu keluarga melapangkan masa bersama dirumah milik abang dan kakak ipar saya. Namun, disaat mereka leka menonton tv bersama, saya lebih suka mengambil peluang ini untuk menulis. Ia kegemaran saya.



Disaat-saat seperti ini, saya harus perbanyakkan syukur. Syukur kehadrat Allah atas setiap kurniaan-Nya. Ujian itu juga harus disyukuri kerana ujian mendekatkan seorang hamba dengan pencipta-Nya. Ketika Allah menguji, saat itu akan menjadi saat paling mudah hati menjadi lentur dan airmata deras mengalir. Lantas tersungkur sujud menyembah-Nya. Saya mengharapkan kekuatan dan kesabaran daripada-Nya. Kecil atau besar sesuatu ujian itu bergantung kepada bagaimana kita menghadapinya dan sesungguhnya saya tidak akan mampu menghadapinya tanpa pertolongan Allah s.w.t. Saya memohon diberi kekuatan-Nya.



Disaat-saat saya mengharapkan ketenangan singgah sebentar pada sebuah hati yang resah, bukan mudah untuk bersyukur saat diuji. Alhamdulillah, solat banyak mengurangkan perasaan gundah. Mujur saja Allah tidak pernah lelah mendengar luahan hati saya. Al-Quran mengingatkan saya pada janji Allah s.w.t. Allah telah berjanji bahawa selepas setiap kesukaran pasti ada kemudahan.Maka, yakinlah dengan janji tuhan-Mu. Sesungguhnya Dia tidak pernah menzalimi hamba-Nya.



AL-INSYIRAH

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

(1) Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: Dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayat petunjuk)?


(2) Dan Kami telah meringankan daripadamu: Bebanmu (menyiarkan Islam);

(3) Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)?

(4) Dan Kami telah meninggikan bagimu: Sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)?

(5) Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,

(6) (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

(7) Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain),

(8) Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).




Bersyukur Saat Diuji tulisan Prof. Muhd Kamil Ibrahim juga banyak membantu saya lebih memahami apa ertinya bersyukur saat diuji. Ia bukan mudah. Ia sukar apatah lagi ketika syaitan mendatangkan pelbagai bisikan dan prasangka buruk. Ya Allah, ampuni hamba-Mu. Sungguh aku tidak mahu berprasangka buruk pada-Mu. Ampunkan aku jika pernah terdetik diruang hati mahupun ruang fikirku.


Saya bersyukur Allah kurniakan ilham kepada Prof Mohd Kamil Ibrahim untuk menghasilkan karya ini. Dan saya bersyukur Allah kurniakan saya kefahaman untuk memahami setiap baris ayat yang ditulis. Alhamdulillah .


 

Moga solat dan Al Quran serta buku-buku sebegini terus memberikan saya kekuatan dan kesabaran untuk menghadapi setiap ujian daripada-Nya. Ujian disaat suka dan ujian dikala duka. Ujian gembira dan ujian derita. Ujian bahagia dan ujian sengsara.

Ya Allah, ampunkan hamba-Mu.

Dari hati penulis kepada hati pembaca.